Sunday 2 December 2012

Kemahiran hidup untuk pelajar istimewa

BUTTERWORTH:  Bagi satu kumpulan "pelajar istimewa" di sini, kemampuan mereka untuk menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira, amat terbatas namun setiap seorang daripada mereka ini mempunyai bakat dan kebolehan tersendiri.

Walaupun keupayaan mereka untuk menimba ilmu tidak setanding dengan "pelajar normal", namun 20 pelajar ini berumur antara 13 tahun dan 19 tahun yang mengikuti kelas Pendidikan Khas di SMK Permatang Tok Jaya di sini, tetap diberi peluang untuk belajar seperti rakan-rakan sebaya mereka yang lain.

Gelagat riang pelajar-pelajar ini, yang menghidap sama ada down syndrome, autisme, hyperactive, terencat akal dan dyslexia, sering mencuit hati para guru dan kadang-kala menyentuh perasaan sesiapa sahaja yang melihat dan mengenali mereka.

Penyelaras Pendidikan Khas SMK Permatang Tok Jaya, Yufoff Ibrahim berkata, pelajar-pelajar berkenaan ditempatkan di tiga kelas dan dikendalikan empat orang guru.
Katanya pelajar-pelajar ini mempunyai tahap atau masalah pembelajaran yang berbeza dan guru-guru perlu mengenal pasti kecenderungan masing-masing untuk menyampaikan ilmu yang bersesuaian dengan mereka.

Di samping pendidikan akademik, penekanan kepada keupayaan menguasai kemahiran hidup seperti menyediakan makanan, berkebun serta melakukan kerja membersih kelas dan mencuci kereta juga diberikan perhatian.

"Tidak lama lagi, warga sekolah ini akan dapat merasai buah anggur yang ditanam oleh pelajar-pelajar istimewa ini di kebun kecil berhampiran kelas mereka," kata Yufoff.

Katanya pelajar-pelajar itu memang dididik untuk membaca dan mengenal huruf serta angka tetapi kebanyakan mereka ini agak perlahan dan tidak boleh menguasai ilmu ini.

"Jadi kita ajar mereka perkara-perkara yang boleh membantu mereka dalam menguruskan kehidupan seharian. Sekurang-kurangnya ia boleh digunakan untuk menyertai sektor pekerjaan yang bersesuaian kelak," kata Yufoff.

Kelas pendidikan khas itu yang dibuka pada 1998 kini mempunyai 16 pelajar lelaki dan empat pelajar perempuan.

SMK Permatang Tok Jaya merupakan antara beberapa sekolah menengah yang menyediakan kelas pendidikan khas di Pulau Pinang.

Bagi pelajar autisme, Muhammad Sharifuddin Yaakop, statusnya sebagai pelajar istimewa tidak pernah menyebabkan dirinya tersisih daripada keluarga, rakan-rakan sebaya mahupun guru-guru.

Kebolehan pelajar berusia 16 tahun ini menghafal AlQuran dan mengendalikan komputer dikagumi pelajar-pelajar yang normal dan guru-guru di sekolah itu.

Malahan, beliau mewakili sekolah berkenaan pada Tilawah AlQuran untuk pelajar pendidikan khas peringkat negeri tahun lepas dan muncul juara.

Yufoff berkata Mohd Sharifudin boleh mengingati ayat-ayat AlQuran yang dibacanya dengan baik dan kebolehannya mengendalikan komputer kadangkala mengatasi kemampuan guru-gurunya sendiri.

Ada juga antara pelajar istimewa ini yang boleh mengikuti pelajaran seperti pelajar normal dan mereka ini berpeluang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, katanya.

Namun bagi keluarga Nor Hazwani Hashim, 14, yang mengalami masalah terencat akal, mereka mahu kemudahan pendidikan untuk pelajar istimewa sepertinya diperbanyakkan dan diwujudkan dekat dengan tempat tinggal mereka.

Ibunya Faridah Ahmad berkata, ketika ini tidak banyak institusi yang disediakan oleh kerajaan untuk anak-anak istimewa seperti Nor Hazwani dan rakan-rakan senasib dengannya, dan jika adapun, ia agak jauh dari tempat tinggal mereka.

"Ketika ini, kebanyakan institusi pendidikan atau latihan untuk golongan istimewa ini dikendalikan pihak swasta atau pertubuhan bukan kerajaan dan bayarannya agak mahal. Banyak ibu bapa yang tidak berkemampuan, akhirnya hanya menyimpan anak-anak mereka di rumah," katanya.

Beliau menasihati keluarga yang mempunyai anak istimewa supaya jangan malu dan menyorokkan anak-anak itu daripada masyarakat sebaliknya hendaklah menghantar mereka ke pusat didikan tertentu supaya kebolehan dan bakat anak-anak itu dapat dikesan dan diasuh untuk kebaikan mereka. BERNAMA

3 comments: